Jeritan Oksigenku

Hidup ibarat logam yang mengalami pengoksidaan. Makin lama makin berkarat, hingga satu masa reput dan hilang. Itulah saat kita kembali kepada Pencipta. Tak ada yang abadi melainkan Dia :-)

Apa yang boleh dijadikan teladan, ambil buat ingatan.

Tika luput masa yang diberikan, legasi ini akan terus bicara tanpa kata, mengilham semangat, mengukir kenangan dan memercik rindu pada siapa pun yang bertamu. Cebiskanlah sedikit dari bicaramu untukku, lewat doamu.

Yang baik itu dari Allah jua. Aku hanya menulis menyampaikan. Hanya bicara lewat maya, dari hamba Allah yang mengharapkan redha-Nya dan bersaudara dengan kalian atas syahadah dan akidah yang sama. Doakanlah untukku, nescaya para malaikat turut mendoakanmu.

Thursday, October 3, 2013

::Untuk Kamu, Ya..., Kamu::

Maaf, karangan belum sempurna.Hanya ini saja bicara yang bisa tergarap.


Assalamualaikum,

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog yang tak seberapa ini. Sebenarnya sudah lama tidak menulis seperti dulu. Tapi menulis tetap menjadi terapi sejak dulu hingga kini. Apapun tulisan ini cuma sebahagian sahaja dari segala yang bersarang dalam akal.

Malam ini bertemankan dua lagu, dan kalam basmallah sebagai pembuka, kutitip sebuah karya yang tidak seberapa untuk kamu.

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.

Dengan izin-Mu, aku berdaya memerah minda dan menjelmakan segenap emosi ke dalam hati.

#1: Dua Lagu

Kedua-dua lagu ini kebetulan menangkap emosi pada petang ini. Bila diamati liriknya amat bertepatan dengan situasi. Dengan pantas menjiwainya. Maka terburailah kotak minda dan memecahlah kaca-kaca hati. Tercurahlah idea. (dan juga air mata, barangkali)

#2:Percaya pada rasa

Selalunya aku tulis apa yang aku rasa. Atau apa yang aku tak mahu rasa. Rasa bukan sekadar deria, bukan sekadar sentuhan fizikal. Lebih hebat adalah rasa yang sentuhnya di dalam jiwa. Ia bersentuh dengan perasaan dan tertanam dalam ingatan.

Percaya pada rasa? Kerana hati tidak pernah menipu. Hati tahu apa yang sebenarnya berlaku. Hati menggerakkan naluri dan rasa. Hati pembeza duka dan bahagia. Jalannya letak di hati. Tapi mengapa sering berperang dengan perasaan? Kerana otak bertindak berdasarkan logik. Akhirnya buntu. Jalan tanpa arah yang ditemu.

Aku yakin pada rasa. Lalu aku bertindak berdasarkan apa yang dirasa. Bila ada dirimu mencuri ruang di dalam hati ini, aku meluruskan niat untuk mencintai kamu dengan halal. Lalu otak membicara, sudahkah aku bersedia? Jujurnya belum. Aku masih berusaha. Mendidik diri menjadi lebih berguna.

Hati pula sengaja membidik rindu. Lalu terasa sangat sepi sehari tanpa bicara denganmu.

#3: Rasa itu Cinta?

Cinta adalah perasaan. Dan ia adalah pilihan. Cinta tidak pernah dipaksa hadirnya. Maka tiada paksaan dalam bercinta. No obligation. Bukan kewajipan. Ia cuma sekadar rasa yang lahir dari hati. Bila hati membidik rindu, bila sehari berlalu sepi tanpamu, aku sedar rasa ini bukan sekadar suka. Namun untuk mencintai kamu hanyalah halal setelah menikahimu. Sedang diri belum bersedia, maka aku tidak boleh mencintai kamu. Biarlah aku terus membidik peluru rindu ke langit malam, menjadikan bintang-bintang sebagai sasaran.Dan hanya dalam doa, bisik hati, resah dan sujudku, aku berbicara dengan Rabb ku, moga dibimbing hati ini agar tidak tergelincir dari landasan.

#4: Cinta, Ikhlaskah Aku?

Bagaimana hendak aku buktikan sedang aku belum boleh bercinta denganmu. Apa yang aku ada cuma bicara ikhlas dengan Rabb ku, lewat sujud dan bisik hati. Rabb ku juga yang lebih tahu. Segala yang aku lakukan hanyalah mengikut percayaku, yakinku, pada hatiku yang memercikkan rasa itu. Dan selalu lewat doaku, ada saja namamu.

#5: Jodoh itu Misteri

Bila terdetik cinta, hati mana mampu menipu tidak berharap org itulah impian jodoh kita. Begitu juga hatiku. Yang aku yakin dan percaya adalah rasa hati. Yang aku usahakan ialah doa dan mempersiapkan diri. Aku tak tahu adakah aku terlambat atau perlahan. Tapi usaha tetap ada. Meletakkan kamu dalam kalbu, meluruskan niat dan bersenjatakan doa.Namun segalanya adalah tertakluk pada rencana Allah. Jodohku, jika bukan kamu, pasti semua ini akan temui penyudah setakat tahap ini. Namun jika kamu memang rencana Allah untukku, maka tinggal berserah pada sejauh mana aku berusaha ke arahnya.

Lalu aku mengikut sahaja apa yang dikata oleh kalbu. Menyayangi kamu seadanya, terbatas pada segala hadnya. Istiqamah pada usaha. Mengambil berat akan dirimu. Bertanya khabar sambil melarutkan sepi dan rindu. Jika aku biarkan sahaja tanpa usaha, manakan bisa aku peroleh peluang secebis pun untuk kamu?

#6: Ikhlaskah, Sedangkan Mengharap Dibalas?

Tiada rasa yang tidak diserta harapan. Tiada harapan yang tidak minta dibalas. Jika begitu manakah letaknya ikhlas?

Letaknya pada redha. Apapun perencanaannya dalam benak, keputusan Rabb ku juga mengatasi segalanya. Di situlah kesabaran memainkan peranan. Segalanya adalah ujian. Tarbiyyah buat aku dan juga kamu. Di sinilah letaknya amanah. Amanah pada apa yang dirasa dan dipercaya. Bila kamu telah berada dalam hati ini, maka aku menutup untuk yang lain.

#7: Ujian

Ujian Allah berbagai cara. Tidak mustahil juga melalui cinta. Di sini diuji-Nya akan iman (terhadap qada dan qadar Allah), diduga dengan rindu agar lebih mengadu pada-Nya, amanah terhadap apa yang dirasa dan pada jiwa yang dimohon untuk disatukan dalam doa.

#8: Cinta kerana Dia?

Ya, aku percaya pertemuan dan perkenalan ini satu percaturan-Nya, dan atas izin-Nya. Dan aku hanya perlu percaya, dan yakini bahawa rasa ini membawa aku lebih dekat dengan Rabb ku. Dan kamu, harapnya begitulah.

#9: Perjalanan

Perjalanan aku yang percaya pada rasa hati ini, suatu ketika akan berhenti juga. Jika pada ketika suatu masa kamu diijabkabul dengan lelaki lain, maka imanku sentiasa memandu, bahawa ketentuan-Nya kamu bukan milik aku. Bukankah telah dijelaskan, cinta bukan paksaan atau kewajipan? Kecuali selepas bernikah, maka cinta menjadi kewajipan. Selain dari itu, cinta terkubur sebagai tidak lebih dari satu rasa, yang akan memudar dengan menginjaknya masa.

Begitu juga jika ditakdirkan Izrail menjemput lebih awal dari waktu itu. Maka berkuburlah segalanya bersama jasadku, dan setakat itulah kemampuan dan yang diizinkan Rabb ku.

#10: Simpati bukan Cinta

Simpati itu bila mata melihat dan hati menjadi belas. Lalu berat untuk melukakan. Cinta itu pula bila hati melihat, tiada di mata pun di hati tetap teringat. Lalu menjadi simpati. Simpati hanya mendatangkan belas. Tetapi cinta boleh melahirkan simpati. Jika rindu muncul dalam benak, maka cinta itu hadir.

#11: Janganlah Terbeban Olehku

Tidak pernah aku memaksa kamu. Maka berjalanlah dengan biasanya seperti kamu mahu. Aku cuma mahu berusaha dengan upayaku dan yakin dengan hatiku. Jika kamu tidak tertunduk dengan rasaku, maka bukanlah salahmu.

Ibaratnya aku jurujual. Jika Allah takdirkan ada rezeki denganmu, maka aku mendekatimu dan kau menerimaku. Jika aku tidak mendekatimu dan berusaha mana mungkin aku berpeluang pada rezekiku. Jika usahaku tidak berjaya maka aku cukup puas kerana telah berusaha dan ternyata bukan rezekiku dengan kamu.

#12: Jagalah Hatimu

Hati kamu adalah ibarat kaca yang sempurna, belum pernah meretak. Jagalah sebaiknya dan serahkan hanya pada yang tepat.

#13: Hatiku

Hatiku pernah retak pecah seribu. Bukan susah sangat untuk aku melaluinya lagi. Yang susah ialah mendapatkan jiwa yang mampu menerima hati yang tidak sempurna ini.

#14: Lagu lagu itu

Kurelakan Jiwa (Hazama) dan Tetap Menantimu (Nomad).

#15: Pesan

Wahai jiwa yang aku rindui, janganlah kamu tertipu dengan simpati biarpun kepadaku. Yakinlah bahawa hati kamu tidak akan menipu. Hanya fikiran yang menimbulkan celaru. Istikharah lah dengan seikhlas jiwa. Biar siapa pun nama yang ada dalam pilihanmu dan sekalipun aku tiada dalam doamu, Allah tetap ada jawapannya.

Dan demi DIA juga setiap sesuatu berlaku itu pasti ada hikmahnya.

#16: Aku cuma....

Aku cuma seorang yang ada perasaan ke atasmu, yang dalam doaku memanjatkan harapan untuk memperisterikanmu, namun masih belum cukup bersedia untuk itu. Segalanya adalah bergantung atas keyakinanku pada segala rasa hatiku.

Tapi aku tetap seorang kawan, carilah aku tika sukar mana pun hidupmu, dengan izin Allah dan atas nama persahabatan ini, aku akan sentiasa ada untuk meminjamkan bahu.

Wallahu'alam.

Wassalam.





No comments:

Post a Comment