Jeritan Oksigenku

Hidup ibarat logam yang mengalami pengoksidaan. Makin lama makin berkarat, hingga satu masa reput dan hilang. Itulah saat kita kembali kepada Pencipta. Tak ada yang abadi melainkan Dia :-)

Apa yang boleh dijadikan teladan, ambil buat ingatan.

Tika luput masa yang diberikan, legasi ini akan terus bicara tanpa kata, mengilham semangat, mengukir kenangan dan memercik rindu pada siapa pun yang bertamu. Cebiskanlah sedikit dari bicaramu untukku, lewat doamu.

Yang baik itu dari Allah jua. Aku hanya menulis menyampaikan. Hanya bicara lewat maya, dari hamba Allah yang mengharapkan redha-Nya dan bersaudara dengan kalian atas syahadah dan akidah yang sama. Doakanlah untukku, nescaya para malaikat turut mendoakanmu.

Sunday, October 20, 2013

:: Hidup, Dugaan, Pelajaran dan Akhiran ::

Mata belum berhenti memerhati.Tengah malam Zulhijjah yang benderang dengan indahnya purnama. Full moon.

Otak masih berputar mengenangi beberapa perkara yang melingkari kehidupan.

Melarutkan pemikiran dalam aliran lagu yang menenangkan adalah satu kegembiraan.

#1 Hidup ini telah ditetapkan.

Hidup ini, adalah sebuah drama yang jalan ceritanya telah ditetapkan beberapa perkara oleh Sang Pencipta. Mulanya, perjalanannya, rezekinya, jodohnya dan luputnya segala itu adalah rencana Dia. Segalanya dari alam rahim, setiap anak Adam telah ditetapkan cerita masing-masing.

#2 Dugaan

Senang atau susah, kedua-duanya dugaan. Bergantung pada kemampuan kita menerima yang segalanya dalam pengetahuan-Nya. Dugaan boleh bermacam-macam jenis. Dan untuk bermacam-macam tujuan yang hanya Allah mengetahui.

Sama ada kafarah atau tarbiyah, dugaan sepatutnya membawa kita lebih dekat dengan Allah.

Sebagai misal, seorang lelaki memohon bantuan jemaah masjid memberi bantuan kewangan bagi rawatan buah pinggang anaknya. Allah mentakdirkan lelaki itu menerima dugaan berat. Di suatu sudut lain jika diamati teliti, ia juga adalah dugaan kepada para jemaah, tentang sifat dermawan dan pengorbanan harta (duit) bagi yang memerlukan.

Surah al-Mulk, ayat ke-2. Fahamkan.

#3 Susah dan Senang

Ada orang diduga dengan kesenangan. Ada yang diduga dengan kesulitan. Apa pun ia, dugaan ditimpakan sesuai dengan kemampuan kita. Dan bila seseorang itu berada dalam kesulitan yang besar, maka dugalah imanmu, sejauh mana kamu sanggup ikhlaskan diri membantu. Janganlah lupa janji Allah. Sesiapa yang memudahkan kesulitan seseorang, Allah akan permudahkan kesulitan untuk dia juga.

#4  Hidup adalah proses belajar

Perkara pertama yang kita belajar ialah menangis. Sewaktu dilahirkan. Dan yang terakhir ialah meninggalkan. Saat sampai luput usia. Di antara dua pelajaran itu, ada perjalanan yang berbeza-beza panjangnya. Manfaatkanlah segala kesempatan sementara masih ada nyawa.

#5 Misteri-misteri

Kekadang misteri-misteri tentang jodoh dan rezeki adalah sulit untuk diungkai. Namun usaha adalah WAJIB. Apa yang kita mahu, berdoalah minta, dibolehkan tawassul untuk hajat-hajat yang spesifik, khusus. Berusahalah dengan penuh yakin. Asalkan niat baik, semuanya harap diredhakan.

Begitu juga dengan misteri mati. Itu kepastian yang mesti berlaku. Misterinya ialah bila. Seperti juga usaha dalam bab jodoh dan rezeki, usaha untuk menghadapi mati juga WAJIB. Lakukanlah sebanyak mungkin kebaikan dan amal.

#6 Masa depan

Bercerita tentang masa depan, kita bukanlah mampu meramalkan. Tetapi masa depan kita sedikit sebanyak dicorakkan oleh apa yang kita lakukan hari ini. Kena yakin dengan kemurahan Allah. Kena usaha untuk hidup gembira. Insya Allah, bila tiba masa itu nanti kita sama-sama berusaha dan berserah pada DIA.

#7 Akhiran

Bila tiba tarikh luput kehidupan, maka itulah akhiran cerita kita. Segala pencapaian lakonan kita akan direkod dan dinilai, kemudian kita akan berehat di tempat yang paling ditakuti oleh mereka yang masih bernyawa. Dan akhiran ini juga merupakan dugaan kepada mereka yang ditinggalkan.

#8 Peminat vs Pengingat

Jadilah orang yang ramai pengingat. Peminat hanya meminati kita tika senang. Tapi pengingat akan mengingati kita selama dalam ingatan.


#9 Pengingat bintang

Tiada bintang di langit malam, namun ingatan terhadap bintang itu tetap ada. Dan kemudian menjadi percaya. Aku sentiasa yakin, dengan kamu, bintang aku.

No comments:

Post a Comment