Jeritan Oksigenku

Hidup ibarat logam yang mengalami pengoksidaan. Makin lama makin berkarat, hingga satu masa reput dan hilang. Itulah saat kita kembali kepada Pencipta. Tak ada yang abadi melainkan Dia :-)

Apa yang boleh dijadikan teladan, ambil buat ingatan.

Tika luput masa yang diberikan, legasi ini akan terus bicara tanpa kata, mengilham semangat, mengukir kenangan dan memercik rindu pada siapa pun yang bertamu. Cebiskanlah sedikit dari bicaramu untukku, lewat doamu.

Yang baik itu dari Allah jua. Aku hanya menulis menyampaikan. Hanya bicara lewat maya, dari hamba Allah yang mengharapkan redha-Nya dan bersaudara dengan kalian atas syahadah dan akidah yang sama. Doakanlah untukku, nescaya para malaikat turut mendoakanmu.

Saturday, March 24, 2012

:: DOPE ::

Mengambil ujian personaliti bernama DOPE oleh bos. Tujuan bos ialah menentukan sifat, kekuatan dan kelemahan staf2 dia.

DOPE ialah singkatan bagi Dove, Owl, Peacock, Eagle. Selepas menjawab beberapa puluh soalan yang berbelit-belit dengan jujur..., saya mendapat skor berikut : 13 Dove, 11 Owl, 14 Peacock dan 5 Eagle.

Secara amnya, saya seimbang untuk tiga ciri D,O,P dan kurang sifat E.

Dove : Simbol keamanan, maknanya saya seorang pekerja yang jarang membantah, sukar marah, buat tugas ikut jadual, terlalu utamakan kemaslahatan rakan2. Dan saya boleh dieksploitasi sikap lembut saya. Ohh lembutkah?? Dove juga mengelak konflik, mengorbankan kepentingan diri utk org lain dan suka ambil risiko. People oriented. Tenang dalam mengurus konflik.The big player in a team.

Owl : Simbol berhati-hati. Owl berfikir berasaskan fakta, numerologi dan logik. Owl berhati2 dalam tindakan dan sering berfikir keterlaluan hingga sukar membezakan perkara remeh dengan yang penting. Owl juga sering cemas, cautious dan curious. Perancang yang baik jika digandingkan dengan Dove.

Peacock: Simbol keyakinan diri. Tidak gentar bercakap di depan khayalak dan tidak gentar mengutarakan idea yang tidak difikir oleh org lain. Akan tetapi peacock tidak suka dikritik dan mengelak dari dikritik.

Eagle : Simbol kepimpinan. Fokus dan tepat dalam menentukan sasaran. Tapi sering terlepas pandang the bigger picture kerana terlalu fokus pada satu perkara. Peraih peluang. Tegas tetapi sering tidak menghiraukan orang lain dalam membuat keputusan. Risk taker dan result oriented.

Saya perlu mengasah sikap eagle dalam diri saya jika saya mahu menjadi pemimpin yang tegas dan berjaya. Pada masa sama saya mesti mengekalkan sifat peacock dan dove tetapi saya boleh kurangkan sikap owl.

Dan sekarang saya faham, kenapa bos suka jadikan saya bidan terjun dalam satu-satu perkara. Khamis lepas saya dimaklumkan oleh bos supaya mengganti seorang lagi bos memenuhi undangan ceramah di Pulau Pinang.Ya, kerana saya ada ciri Peacock dan Dove (tidak gentar bercakap di khayalak dan tidak melawan arahan..)

Isnin ini saya akan ke Pulau Pinang. Dan saya masih belum siapkan presentation slides disebabkan sikap Dove saya (tenang dalam menguruskan konflik)...haha..

Monday, March 19, 2012

:: AmArAh ::

Marah adalah suatu tindak balas komunikasi yang didorong oleh emosi yang terganggu dan seringkali mendahului kewarasan akal.

Marah itu asasnya ialah perasaan tidak sabar. Ia lantas mencetuskan sikap terburu-buru. Perlakuan yang dibuat ketika emosi sedang membakar amarah sering bersifat terburu-buru dan akhirnya boleh merugikan diri sendiri.

Marah itu simbolnya api. Sekecil-kecil marah ibarat sebatang mancis yang menyala. Biarpun tak bahaya namun panasnya tetap sama. Sebatang mancis pun bila padam apinya tetap meninggalkan sisa arang.

Bila mancis padam sisanya kita buang. Ke mana pun kita buang ia tetap menjadi sampah. Yang terbakar tetap telah terbakar. Jika tidak dibuang takkan pula kita pegang. Itulah ibaratnya amarah. Yang terlajak, terlafaz di lidah tetap telah terucap. Ungkapan maaf ibarat memadam mancis. Kelak kita buang sebagai sampah kerana ia telahpun terbakar.

Buanglah.

Api bukan mainan. Malah Allah ciptakan api di dunia ini sebagai peringatan pada api neraka yang berpuluh ganda panasnya. Marah? Bila marah, ingatlah, api itu amaran Allah pada kita.

Jangan sampai terbakar oleh sikap sendiri.

Sunday, March 18, 2012

:: KeBaHaGiAaN ::

Kebahagiaan bukan terletak pada kesenangan. Tapi sebenarnya pada kesabaran, ketahanan dan kepayahan menempuh kesusahan.

Semua orang gembira bila senang. Semua orang benci bila susah. Tersangat sedikit orang mampu gembira bila susah, dan hampir tiada orang bersedih saat senang.

Cinta melengkapkan kehidupan.

Syukuri segala cinta yang ada. Susah atau senang, nikmatilah bersama.

Saturday, March 10, 2012

:: Ku Inginkan Bintang ::

:: Malam panjang sendirian menghitung bintang di dada malam. Lenaku tak berteman. Sekadar mengharap mimpi membawa belaian. Kumimpikan bintang melukis cinta di langit gelap. Segelap duniaku. Kumimpikan bintang melakar bintik-bintik terang di balik awan hitam. Menjadi pemandangan terindah di waktu malam kelam.

Ku inginkan bintang. Menyinari dalam hati. Sepanjang masa. Tanpa perlu menantikan malam. Terasa terang biarpun mata dipejam. ::

Tuesday, March 6, 2012

:: EarN iT::

Jeles atau dengki. Tiadalah kuketahui. Dari sorot matamu kuduga rasa tidak puas hati. Mengapa perhatian lebih diberi pada dia yang telah pergi.

Jika kau mahu dirimu disayangi hingga ke mati, dikenangi dan dikasihi biarpun tinggal pusara untuk ditatapi, maka berhentilah dari mencemburui.

Berusahalah. Untuk disayangi, jadilah apa yang sepatutnya pada diri ini.

Earn for it.

Saturday, March 3, 2012

:: Sepi Dalam Ramai ::

Saya singgah di pasar malam mahu mencari apa-apa yang boleh dimakan. Ramai betul orang. Berlaga bahu.

Pelbagai ragam. Aneka perangai. Bermacam gaya.

Meletakkan diri di tengah-tengah kesibukan bercampur bingit bukanlah suatu yang biasa saya lakukan. Namun bila sekali sekala melengkapkan kerancakan di pasar malam, agak menyeronokkan.

Melihat anak-anak kecil bersama ibu bapa. Agak terasa juga.Namun, saya tidak harus berasa cemburu pada sesuatu yang bukan milik saya.

Terjumpa rakan sekuliah pula bersama anak lelakinya berusia setahun 11 bulan. Cerdik budaknya.

Kalau dihitung, anak saya berusia setahun 8 bulan.

Mungkin dia juga sudah sepandai anak rakan saya itu. Mungkin. Hanya berteka teki.

Terbangkit rindu pada Insyirah. Dan dalam riuh rendah dan hiruk pikuknya pasar malam, aku menjadi sangat sepi.

Thursday, March 1, 2012

:: Antara 2 Rindu ::

Merindui seseorang yang telah pergi seringkali membuatkan kita mengalirkan air mata. Pemergiannya adalah abadi, tidak akan kembali. Kehilangannya adalah sesuatu yang kita terpaksa menerimanya. Redha mahupun paksa. Lambat laun pasti akan merelakan jua.

Merindui seseorang yang masih hidup tetapi gagal ditemui  juga membuatkan kita mengalirkan air mata. Ketiadaannya dirasai. Sama ada dia enggan menemui kita. Atau kita tidak dibenarkan menemuinya. Ia adalah sesuatu yang kita dipaksa menerimanya. Redha bukanlah jawapan. Paksa juga bukan alasan.

Yang membezakan antara 2 rindu itu ialah...

HARAPAN...

Kita akan berhenti berharap pada seseorang yang telah pergi. Menziarahi pusaranya mungkin bisa mengubat rindu di hati.

Tapi kita akan terus berharap pada seseorang yang masih ada. Tiada pusara untuk dituju menawarkan bisanya rindu. Harapan yang makin samar, dan kenangan yang makin hangat, menerjah bersama rindu yang tak tertanggungkan.

Rindu ini barangkali lebih menyesakkan daripada merindui orang yang telah pergi. Barangkali..

Saya rindukan arwah Sulaiha (a.k.a Baby). Masih terngiang suara arwah gembira, dan suara arwah mengadu sakit ketika di hospital. Redhakan arwah pergi dengan tenang, dan doakan untuknya di sana.

Saya rindukan Insyirah (baby saya). Saya tiada idea apa yang dia telah pandai lakukan sekarang. Saya juga teringin sangat untuk mendengar dia memanggil saya. Pejam celik. Dan mereka yang hanya petah menganjurkan sabar. Hampir 5 bulan sudah saya tidak melihat wajah yang saya paling sayang ini.Saya dipisahkan dengan kejam sekali, dan dipaksa mengharungi. Siapa yang peduli?

Sekali lagi, pada malam ini, saya mengadu pada bintang-bintang. Entah kenapa, hati ini terlalu kosong sekali.

Antara 2 rindu. Antara 2 insan yang bernama 'baby'. Sepi.

T_T

:: Matahari Berdoa ::

~Dipetik dari majalah~

Sesungguhnya matahari marah melihat kemungkaran yang dilakukan oleh manusia. Lalu matahari memohon doa kepada Allah untuk berhenti dari menyinari bumi.

Setiap hari matahari berdoa dan setiap hari jugalah Allah akan memerintahkan matahari kembali kepada kedudukannya dan terbit dari arah timur.

Hingga suatu masa Allah memperkenankan untuk mendengar doa matahari. Maka selama 3 hari matahari berdoa kepada Allah.

Semasa itu, matahari tidak menyinari bumi. Maka terjadilah malam yang panjang, yang hanya disedari oleh mereka yang bangun bersolat malam. Apabila mereka tidur semula dan terjaga, didapati masih gelap. Maka mereka kembali bertahajud dan beribadat. Dan kemudian tidur semula, bila terjaga didapati masih gelap. Maka sedarlah akan mereka bahawa malam itu sangat panjang daripada biasa dan bergegaslah mereka ke masjid untuk bertaubat dan beribadat sebanyak mungkin.

Adapun mereka yang kufur, terus menarik selimut dan mensia-siakan peluang terakhir itu.

Selepas 3 hari matahari berdoa, Allah memerintahkan matahari supaya kembali ke orbitnya dan terbit dari arah barat.

Maka kiamat pun berlaku...