Jeritan Oksigenku

Hidup ibarat logam yang mengalami pengoksidaan. Makin lama makin berkarat, hingga satu masa reput dan hilang. Itulah saat kita kembali kepada Pencipta. Tak ada yang abadi melainkan Dia :-)

Apa yang boleh dijadikan teladan, ambil buat ingatan.

Tika luput masa yang diberikan, legasi ini akan terus bicara tanpa kata, mengilham semangat, mengukir kenangan dan memercik rindu pada siapa pun yang bertamu. Cebiskanlah sedikit dari bicaramu untukku, lewat doamu.

Yang baik itu dari Allah jua. Aku hanya menulis menyampaikan. Hanya bicara lewat maya, dari hamba Allah yang mengharapkan redha-Nya dan bersaudara dengan kalian atas syahadah dan akidah yang sama. Doakanlah untukku, nescaya para malaikat turut mendoakanmu.

Sunday, November 17, 2013

HAruSKaH..??




Tajuk entri kali ni adalah sempena lagu lama yang diulang dengar semula. Seingatlah, tahun 2004. Masih baru meratah (dan diratah) pengalaman bekerja. Adapun sengaja diulang dengar. Pastilah ada sesuatu di sebalik lagu ini kan. Biar saja ia terus berputar di ruang memori yang sengaja disimpan.

#1: MC
Dua minggu pertama November menyaksikan kehadiran di pejabat sangatlah banyak. Rekod, aku cuma bekerja setengah hari pada 6 haribulan dan pulang kerana demam (mc) sehingga esoknya. Kemudian pada 12 haribulan sekali lagi bekerja. Disusuli dengan dua hari lagi MC klinik swasta dan pada 15 haribulan terpaksa ke klinik kesihatan kerajaan untuk rawatan lanjut.

#2: Sakit yang tak sama
Kali ni demam tak serupa dengan sebelum ni. Demam yang tak panas, tapi datang dan pergi serta batuk yang teruk hingga tidak boleh tidur malam dibuatnya. Berlanjutan sehingga seminggu lebih, akhirnya ke klinik kerajaan untuk ujian imbasan bagi tibi. Terkejut dengan hasil x-ray paru-paru yang menunjukkan adanya tompok-tompok kecil yang disyaki jangkitan kuman, dan simptom yang menyerupai tibi, aku perlu jalani ujian kahak tiga kali. Keputusan ujian kahak inilah akan menentukan sama ada jangkitan ini tibi atau yang lain.

#3: Tiada siapa peduli
Bila dilanda sakit macam ni, yang nampak macam remeh, macam batuk dan demam biasa, maka adalah biasa bagi manusia yang tidak dapat menahan mulut daripada berkata-kata. Berapa ramai antara mereka di sekeliling kita yang berdoa untuk kesihatan kita? Bila cuti sakit masuk hari kedua dan ketiga maka cakap-cakap pun mula bersketsa dari sepotong ayat menjadi dua, tiga dan akhirnya berjela. Padahal ketika mereka nyenyak tidur di tilam empuk, kita berjaga dalam payah kerana sakit yang diujikan ke atas kita.

Hidup kita ini sebenarnya, siapa sangatlah yang peduli?

#4: Tak usah berharap
Sepuluh kali pun kita berbuat baik pada seseorang, belum tentu lagi orang itu mampu menahan sekali dirinya daripada berkata-kata tentang kita. Itulah lumrahnya dunia. Lidah menjadi fitnah paling besar dalam kehidupan. Yang kita disuruh ialah berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Ganjarannya biarlah DIA yang selayaknya tentukan. Usah diharap reward dari manusia. Ikhlasnya belum tentu sampai ke mana. Gah hanya di nama. Nama pun manusia.

#5: Fitnah lidah 1
Adapun pernah sekali itu aku terima sepotong ayat yang menghina lagi memalukan, yang tertanam dalam ingatan. Sepotong ayat dan susunan gelak tawa yang memuaskan nafsu golongan hartawan. Kala aku tidak punya apa dan bukan sesiapa.

#6: Ingat tidak lupa
Sepotong ayat dan susunan gelak tawa itu senantiasa akan diingat, sekali kali tidak akan dilupa.

#7: Fitnah lidah 2
Bersaksilah pada tarikh yang baru-baru ini, lidah sang hartawan itu berkata lagi. Kali ini hendak dilamarnya hati ini bagi pihak anak hartawan yang seorang lagi. Dua lidah yang sama melafazkan ayat dan menyusun gelak, kali ini dengan takzim dan harap hendak memilih diri ini. Dengan tawaran segala-segalanya disediakan selepas hanya satu persetujuan, apakah itu harga sekeping hati ini? Selepas 16 tahun apakah kalian telah lupa pada kata-kata dan gelak tawa kalian dahulu?

#8: Dan jawapnya
Sudahlah pasti jawapanku. Tidak sekali-kali.

#9: Dunia ini….,
Separuh hati sudah sepertinya tiada lagi untuk dunia ini. Kerana di alam selepas ini aku tidak boleh sangat berharap pada yang masih tinggal, tapi aku mesti bawa sendiri segala bekal. Cinta sebesar dunia ini pun pasti akan tertanam sekali bersama jasad. Janganlah aku terhanyut leka, lalai dalam fitnah dunia hingga terlondeh segala pakai dan tumpah bersepah bekal yang sedang disediakan untuk musafir abadi nanti.




Thursday, November 7, 2013

:: Kifarah ::

Sesekali diberikan demam yang teruk bersama dengan selsema dan sakit tekak. Ciri2 jangkitan pada saluran respiratori.

Moga diberi pengampunan ke atas segala dosa yang tidak terhitung jumlahnya.

Sabarlah dalam menghadapi.